Wednesday, December 2, 2009

RUMBIA,HAMBULONG,HAMBUYAT - Part 1.......

Rumbia, hambulong, hambuyat – Part 1
Written by kalajiau ingaa
Thursday, 02 December 2009

Hambataa (ulat sagu) merupakan santapan yang digemari oleh sesetengah oang daat!

“mun inda dipacahakan batang umbia apa ulah kan luih hambulongnya”

[kalau tak dipecahkan rayong manakan dapat sagunya]

Lebih kurang maksudnya, kita harus berusaha sedaya upaya jika hendak mendapatkan sesuatu hasil yang baik. Ungkapan di atas menggambarkan keakraban pokok sagu dengan kehidupan orang-orang Borneo, terutamanya oang daat di belahan dunia kami yang tinggal sekitar pantai barat dari kawasan Papar sehingga ke Miri. Malah, misi utama program Syarikat berpiagam Borneo Utara British pada awal abad ke 20 (1900 – 1914) ialah mengkomersilkan penghasilan sagu di kawasan Beaufort dan Papar.

Pokok Umbia (rumbia) dikenali dengan banyak nama. Walaupun kami hanya mengenalinya sebagai umbia, pokok dari spesis palma ini sebenarnya terkenal di serata pelusuk dunia variasi nama “sagu (arab)” yang terkenal. Di antaranya ialah Sago palm (English), Sagoutier (Perancis), Sagopalme (Jerman), Sago (Itali), Sago yashi (Jepun), Thagu bin (Burma), Sa khu (Thai), Sagu (Vietnam) dan lumbia (Tagalog). Orang-orang jawa mengenalinya dengan nama Ambulung, manakala bagi kami hambulong adalah merujuk kepada pati sagu yang telah diproses.

Tumbuhan ini banyak terdapat di kawasan paya air tawar dan batangnya mempunyai kandungan kanji yang sangat tinggi.

Hambulong [Brunei - ambulung] mengandungi sehingga 90% kanji tulin iaitu karbohidrat. Setelah dimasak ia dipanggil hambuyat (kanji masak) dan ia boleh dimakan untuk menggantikan nasi.

Berikut merupakan cara tradisi untuk mendapatkan hambulung. Terlebih dahulu pokok umbia yang matang ditebang dan dipenggal sekira-kira tiga hingga empat kaki panjang. Kulit luarnya yang keras dan berwarna gelap akan disisi (dibuang, dilapah, dikupas secara belahan sisi). Bahagian serabut di sebelah dalam yang lebih lembut akan diparut menggunakan gergaji parut khas dan hasil parutan akan dimasukkan ke dalam pelantar penapis yang dipenuhi air. Penyisihan kanji dari serabut umbia dibuat menggunakan kaki sebelum diayak. Kemudian air berkanji berwarna putih akan dibiarkan beberapa ketika supaya kandungan kanji yang ada di dalamnya mendap. Mendapan ini merupakan mendak kanji tulin yang berwarna putih bersih seperti tepung yang telah diuli dengan air, tetapi warnanya lebih putih dan terasa mulus apabila dipegang.

Kenali Sagu dari aspek yang lain!

A. Hambataa – Ulat Umbia

Sebenarnya kegunaan batang umbia bukan hanya terhad kepada penghasilan sagu. Bagi oang-daat yang bukan beragama Islam (orang dusun, orang dayak dan sebagainya) selain menghasilkan hambulung, batang dan tunggul pokok umbia yang dibiarkan mereput akan menjadi pusat pembiakan kumbang dalam jumlah amat banyak. Akan tetapi sebelum proses metamorphosis berjalan dengan lengkap, kumbang-kumbang ini adalah merupakan ulat umbia bersih yang kami kenali sebagai hambataa (tetapi orang kadayan tidak memakannya, sejauh yang saya ketahui). Hambataa tinggal di dalam pokok umbia dan bergantung kepada kanji mentah di dalam pokok berkenaan sebagai makanan utama. Saiznya sebesar ibujari setiap satu dan apabila dikumpulkan berbakul-bakul, hambataa merupakan santapan yang digemari. Sehingga sekarang, ada masanya ulat-ulat umbia ini kelihatan dijual di tamu-tamu kawasan yang tertentu di Borneo.

B. Sagu Tradisi dihasilkan Secara Injakan

Sagu dihasilkan dengan menginjak hasil parutan serabut menggunakan kaki, tidak kotorkah?
Ya, menggunakan kaki. Oleh kerana kuantiti parutan serabut pokok umbia yang banyak, biasanya injakan kaki diperlukan, bukan tangan. Suatu ketika dulu padi juga diinjak menggunakan kaki, bezanya padi masih berkulit dan kulitnya hanya diasingkan untuk menghasilkan beras setelah ditumbuk di dalam lesung kayu. Proses pembuatan wain tradisi juga memerlukan injakan untuk memerah cecair dari buah anggur; sebelum diperam.

Pada sekitar tahun 1997, saya pernah mengikut rombongan lawatan ke sebuah kampong untuk melihat bagaimana sagu dihasilkan. Saya tertarik untuk melawat tapak perusahaan tradisi sagu di kampong berkenaan kerana penghasilan sagunya begitu putih bersih dan agak terkenal. Setibanya kami di sana, satu demi satu proses pembuatan sagu diperlihatkan secara terperinci. Ini termasuklah daripada proses pembuangan kulit luar, memarut dan semuanya berjalan lancar sehingga tiba ke proses menginjak. Agaknya pakcik pengusaha berkenaan ada sedikit kesilapan teknik. Untuk demonstrasi injakan, dengan selamba beliau berjalan, memasuki ruang dan kemudian terus menginjak serabut umbia tanpa meninggalkan boot plastik hitam yang dipakainya. Pada masa itulah saya perasan raut muka kebanyakan ahli rombongan menjadi berkerut dan di akhir sesi, tiada seorang pun yang membeli sagu yang dihasilkan

2 comments:

  1. Picaya nih ku tu inda ada yg kan mbali...Apa lagi mun inda makai Boot...Yg buatan batis njajak....Mun sudah ya bajual d pasaa inda lg jua talihat gaya mbuat tu...Dapat tah d cungkil basa2 paka itu....

    ReplyDelete
  2. Hambataa tu uja dangan yg maasaie makan nyaman/sadap bukan alang2 eh asanya...Uja dangan balum jua ku maasaie makan deh.....

    ReplyDelete

Blog Suku Kadayan

Followers

Gambaa buluh bawarna

Gambaa buluh bawarna

LUKISAN PIASAU

LUKISAN PIASAU